Isnin, 16 April 2012


Pengenalan
Definisi Patriotik, Denotatif Dan Konotatif

Menurut Kamus Dewan (1996: 987), Patriotik bermaksud bersifat patriot (orang yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan negaranya, pembela negara). Sering dikaitkan dengan kemerdekaan dan kebangsaan. Antara sifat patriotik itu ialah memperjuangkan dan mempertahankan tanah air, membela ugama dan nusa. Sikap patriotik rakyat terhadap negara jelas tergambar pada diri masyarakat Brunei, yang hidup berlandaskan prinsip Melayu Islam Beraja dan taat kepada pemerintahan bersultan.

Walaupun Brunei telah lama mencapai kemerdekaan, sikap patriotisme ini tidak pernah luntur atau pudar malah ditunjukkan melalui penciptaan lagu-lagu patriotik oleh anak-anak tempatan bersempena hari kebangsaan Brunei Darussalam. Lagu-lagu tersebut mengandungi meseg/moral yang hendak disampaikan. Antaranya ialah unsur-unsur kecintaan terhadap tanah air, mencintai agama, taat kepada raja dan sebagainya. Secara tidak langsung, penciptaan lagu-lagu tersebut dapat menaikkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat tempatan. Jadi, sempena memeriahkan lagi hari kebangsaan ini, kajian iaitu melihat makna detonatif dan konotatif pada lagu-lagu patriotik Brunei telah pun dijalankan.

Dr Jaludin Chuchu (2010:56), menyatakan bahawa makna denotatif dan konotatif dapat dibezakan dengan melihat nilai rasa yang ada dalam kalimat atau kata. Setiap kata mempunyai makna denotatif tetapi tidak semua kata mempunyai makna konotatif. Sebuah kata itu memiliki makna konotatif apabila kata tersebut mempunyai nilai rasa sama ada positif atau negatif. Jika kata tersebut tidak memiliki nilai rasa maka dapat dikatakan bahawa kata berkenaan tidak memiliki konotasi tetapi disebut berkonotasi neutral.  Dalam Kamus Dewan (1996: 292), memberikan definisi bahawa makna denotasi ialah makna eksplisit sesuatu perkataan, lawan konotasi dan hubungan semantik antara satuan bahasa dengan benda (simbol dll). Manakala konotasi (1996: 701) pula ialah asosiasi atau idea yang dimaksudkan oleh sesuatu perkataan atau ungkapan selain maknanya yang tersurat. Jadi, secara ringkasnya, denotatif itu bermaksud makna yang tersurat (seperti yang terdapat dalam kamus), manakala konotatif pula ialah kajian mengenai makna yang tersirat (yang melihat makna dari sudut keseluruhan ayat dan memberikan nilai rasa seperti positif, negatif mahupun neutral). 
Permasalahan Kajian

Seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa setiap kata mempunyai makna denotatif tetapi tidak semua kata mempunyai makna konotatif. Oleh itu, permasalahan yang ingin dikaji dalam kajian ini ialah ingin melihat sama ada kata-kata leksikal yang terdapat dalam lagu-lagu patriotik Brunei Darussalam khususnya lagu-lagu kebangsaan itu mengandungi makna denotatif sahaja atau mengandungi kedua-duanya sekali iaitu makna denotatif dan juga makna konotatif.
 
Tujuan
 
Adapun tujuan kajian ini adalah sebagai pemupukan semula semangat kebangsaan atau nasionalisme iaitu dengan memberikan pendedahan kepada khalayak mengenai makna atau maksud yang tersirat mahupun tersurat dalam bait-bait lagu patriotik Brunei Darussalam. Memandangkan lagu patriotik ini hanya diperdengarkan pada musim tertentu umpamanya ketika menyambut hari kebangsaan, maka pengkaji mengambil kesempatan untuk mendedahkan lagu-lagu patriotik kepada khalayak yang berkemungkinan khalayak juga tidak mengetahuinya.

Antara lagu-lagu patriotik yang dianalisis ialah: 
1.      Bangsa Satria
2.      Brunei Bumi Bertuah
3.      Sumpah dan Janji
4.      Pamor Bangsa
5.      Tekad Kemerdekaan

Analisis Pertama:
Lagu: Bangsa Sateria
 
Berdasarkan lirik lagu Bangsa Sateria ini, terdapat kata-kata leksikal yang mengandungi makna denotatif dan makna konotatif.

Antaranya, kata leksikal “sateria”. Dalam kamus dewan (2005:772), kata “sateria” merujuk kepada definisi “kesateria” iaitu:
  1. Perajurit yang gagah berani
  2. Orang yang gagah berani.

Kata “sateria” dalam konteks ayat “lahirlah tanah air bangsa sateria” bermaksud bahawa terdapatnya orang-orang yang gagah berani khususnya tentera-tentera yang sanggup berjuang demi menjaga keamanan dan kesejahteraan negara. Konteks ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa kata “sateria” hanya mempunyai makna denotatif sahaja dan tidak memiliki makna konotatif. Ini adalah kerana makna denotatif (makna tersurat / makna kamus / makna dasar) dengan makna “sateria” berdasarkan konteks ayat tersebut adalah sama. Oleh itu, kata “sateria” adalah berkonotasi neutral.

Seterusnya, kata leksikal “keringat”. Kata “keringat” dalam kamus dewan (2005:760) bermaksud peluh. Berdasarkan konteks ayat “dibina dengan keringat semangat waja”, kata “keringat” mempunyai makna konotatif iaitu usaha dan pengorbanan tentera-tentera yang gagah berani di samping mempunyai semangat yang kuat dalam mempertahankan negara tercinta. Dari itu, kata “keringat” memiliki nilai rasa yang tinggi atau berkonotasi positif kerana penggunaan kata “keringat” dapat melambangkan pengorbanan, perjuangan, usaha, dan sebagainya.

Bagi kata leksikal “warga” pula, dalam kamus dewan (2005:1801) bermaksud ahli (suatu keluarga, syarikat dll). Konteks ayat “antara warga raja saling kasih percaya” bermaksud rakyat dan raja hendaklah saling percaya dan bekerjasama memartabatkan negara. Oleh itu, kata “warga” berdasarkan konteks ayat di atas adalah merujuk kepada rakyat. Kata “warga” ini tidak memiliki makna konotasi kerana jika dilihat melalui makna denotatifnya (makna kamus), kata “warga” bermaksud ahli. Dari itu, jika raja dianggap sebagai ketua negara, maka rakyat dianggap sebagai ahlinya. Ini jelas menunjukkan bahawa tidak terdapat makna konotasi mahupun makna tersirat bagi kata “warga” berdasarkan konteks ayat tersebut.

Dalam kamus dewan (2005:386), kata leksikal “emas” bermaksud sejenis logam berwarna kuning yang mahal harganya (selalunya dijadikan perhiasan seperti cincin, rantai, dll). Walau bagaimanapun, kata “emas” mengikut konteks ayat “tetap berpijak di bumi emas” memiliki makna konotasi iaitu tetap memperjuangkan dan mempertahankan negara tercinta yang sangat berharga dan bermakna bagi sekalian rakyat Brunei Darussalam. Dari itu, kata “emas” mempunyai nilai rasa yang tinggi atau berkonotasi positif kerana kata “emas” dilambangkan sebagai sesuatu yang sangat berharga.

Terakhir, kata leksikal “mutiara”. Dalam kamus dewan (2005:1061), kata “mutiara” bermaksud sejenis permata yang yang diperolehi dari sejenis tiram. Definisi ini dianggap sebagai makna denotatif. Walau bagaimanapun, kata “mutiara” mengandungi makna konotasi berdasarkan konteks ayat “tersimpul makna mutiara sempurna” yang bermaksud bahawa mengamalkan kehidupan berasaskan falsafah Melayu Islam Beraja adalah sesuatu yang sangat berharga. Dari itu, kata “mutiara” merujuk kepada sesuatu yang berharga.

Analisis Kedua:
 Lagu: Brunei Bumi Bertuah

Dalam kamus dewan (2005:1154), kata leksikal “payung” bermaksud alat bertangkai yang biasanya dibuat daripada kain, kertas, dsb yang dipasang pada kerangka boleh dilipat untuk melindungi seseorang atau sesuatu daripada terkena hujan atau panas matahari dan juga digunakan sebagai alat kebesaran raja dll. Walau bagaimanapun, kata “payung” dalam konteks ayat “raja payung rakyat dan negara” mempunyai makna konotasi iaitu seorang raja itu dianggap sebagai pelindung, tempat berteduh, harapan bagi rakyat dan juga negara. Oleh itu, kata tersebut mempunyai nilai rasa yang tinggi kerana dalam masyarakat Melayu sendiri, raja diibaratkan sebagai payung bagi rakyat dan negara.

Seterusnya, kata leksikal “isi” dalam kamus dewan (2005:588:589) bermaksud,
1.      Sesuatu yang termuat dalam sesuatu benda, kandungan;
2.      Inti sari, pati;
3.      Bahagian (pada buah dll) yang bukan biji (yang dikandung oleh kulit).

Definisi di atas merupakan makna denotatif bagi kata leksikal “isi”. Dalam konteks ayat “tempat berlindung isi negara”, kata “isi” memiliki makna konotatif iaitu merujuk kepada rakyat jelata. Oleh itu, kata “isi” mempunyai nilai rasa yang tinggi atau berkonotasi positif.

Bagi makna leksikal “persada” dalam kamus dewan (2005:1193) pula ialah sejenis lantai yang tinggi bertingkat atau bertangga tempat duduk raja (pembesar negeri dll). Berdasarkan konteks ayat “persada kita jaga” yang bermaksud takhta kerajaan harus dipelihara sebaik-baiknya supaya tidak diambil alih oleh penjajah atau orang yang bertujuan untuk merosakkan negara. Dari itu, jelas menunjukkan bahawa kata “persada” mempunyai makna konotatif iaitu takhta kerajaan.

Selanjutnya, “hancurkan lah petualang”. Kata “petualang” merujuk kepada orang yang tidak amanah dan melakukan sesuatu untuk kepentingannya sendiri. Berdasarkan konteks ayat ini, hendaklah dihapuskan orang yang merosak negara.

Untuk leksikal petualang ini, Kamus Dewan (2005), memberikan definisi seperti berikut:

  1. Orang yang bertualang, orang gelandangan, pengembara;
  2. Orang melakukan sesuatu dengan nekad (curang dll) untuk kepentingannya sendiri;
  3. Orang yang suka melakukan perkara-perkara yang sukar atau berbahaya untuk pengalaman.

Oleh itu, kata “petualang” berdasarkan konteks ayat di atas mempunyai makna denotatif dan tidak memiliki makna konotatif (berkonotasi neutral).

Kata leksikal “ibunda” dalam Kamus Dewan (2005:558) bermaksud bonda, ibu (lebih hormat). Walau bagaimanapun, dalam konteks ayat “menyambut seruan ibunda”, kata “ibunda” bukan merujuk kepada bonda atau ibu, sebaliknya merujuk kepada makna tersiratnya (makna konotatif). Makna konotatif bagi kata leksikal “ibunda” adalah negara. Oleh itu, kata “ibunda” dianggap mempunyai nilai rasa yang tinggi atau berkonotasi positif.

Dan akhir sekali, kata leksikal “megah” dalam kamus dewan (2005:1012) yang bermaksud,
1.      Kelihatan gagah (hebat), masyhur, mulia;
2.      Bangga.

Jika dilihat dalam konteks ayat “bendera negara berkibar megah”, jelas menunjukkan terdapatnya unsur metafora iaitu kata “megah” biasanya merujuk kepada orang atau manusia, sedangkan dalam konteks ayat di atas, kata “megah” merujuk kepada benda iaitu bendera negara. Walau bagaimanapun, makna “megah” berdasarkan konteks ayat tidak berubah dengan makna denotatifnya (berdasarkan definisi kamus dewan). Konteks ayat tersebut bermaksud bahawa bendera negara berkibar dengan hebat. Oleh itu, kata “megah” hanya memiliki makna denotatif, tetapi tidak memliki makna konotatif.

Analisis Ketiga:
Lagu: Sumpah Dan Janji

Dalam lirik lagu “Sumpah dan janji” ini terdapat lima leksikal yang berunsurkan patriotik ditemui. Contohnya, leksikal ‘Berjuang’, ‘Membangun’, ‘Semangat’, ‘Mempertahankan’, dan ‘Kedaulatan’. Berdasarkan perkataan tersebut jelas menunjukkan bahawa makna leksikal, konotasi dan denotasinya adalah berbeza berdasarkan konteks ayat.

Menurut kamus Dewan Edisi ketiga (1997:544)  perkataan ‘Berjuang’ adalah bermaksud,
1.      Berlaga antara satu dengan lain (bukan bagi binatang yang besar-besar)
2.      Berlanggaran
3.      Berlawanan
4.      Hendak mencapai atau mengatasi sesuatu dengan jalan beradu tenaga (kekuatan, kuasa dan sebagainya) dengan pihak atau unsur yang menentangnya atau boleh memudaratkannya

Oleh itu, berdasarkan konteks ayat “Berjuang membela ugama nusa”, perkataan “berjuang” ini bermaksud mempertahankan, mengatasi, memelihara iaitu dengan menguatkan syiar agama Islam supaya masyarakat Islam Brunei Darussalam tidak menerima unsur atau pengaruh yang tidak baik dari pelbagai pihak. Perkataan ‘berjuang’ tadi tidak berubah maknanya dari konteks ayat malah perkataan tersebut lebih menekankan kepada maksud yang keempat bagi perkataan ‘berjuang’ yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Ketiga. Maka dengan itu, jelas menunjukkan leksikal ‘berjuang’ mempunyai makna denotatif kerana makna denotatifnya secara tidak langsung dinyatakan secara terang-terangan (tersurat) di dalam konteks ayat tersebut.  Dari itu, konteks ayat ini sebenarnya berkonotasi neutral

Perkataan ‘membangun’, Menurut Kamus Dewan, (1997:102)  adalah bermaksud,
  1. Bangun berdiri
  2. Bangkit
  3. Naik (awan, dan lain-lain)
  4. Berkembang
  5. Meningkat maju

Tetapi berdasarkan konteks ayat “membangun bangsa” , konteks ayat ini bermaksud menaik tarafkan hidup rakyat di Negara Brunei Darussalam agar standing dengan taraf hidup di negara-negara yang sudah membangun seperti di negara-negara Barat umumnya. Selain itu juga, agar rakyat Negara Brunei Darussalam mampu berdiri dan memajukan diri sendiri tanpa bergantung harap kepada kerajaan Brunei. 

Dari itu, perkataan ‘membangun’ tadi juga tidak berubah maknanya dari konteks ayat malah perkataan tersebut lebih menekankan kepada maksud  pertama dan kelima  yang diberikan oleh Kamus Dewan. Maka dengan itu, jelas menunjukkan leksikal ‘membangun’ mempunyai makna denotatif kerana makna denotatifnya secara tidak langsung dinyatakan secara terang-terangan (tersurat) di dalam konteks ayat tersebut. Dengan itu, konteks ayat ini berkonotasi neutral

Dalam Kamus Dewan (1997:1227),  menyatakan definisi ‘semangat’ sebagai,
1.      Roh yang terdapat dalam segala makhluk (dipercayai mempunyai kuasa-kuasa tertentu)
2.      Perasaan hati, jiwa
3.      Maksud atau tujuan yang terkandung dalam sesuatu perjanjian (ucapan dan lain-lain)
4.      Kemahuan untuk melakukan sesuatu, nafsu

Berdasarkan konteks ayat “Semangat waja”,  ianya bermaksud agar rakyat Negara Brunei Darussalam lebih mempunyai kemahuan (cita-cita) yang kuat demi menjaga tanah tumpah darah negara Brunei Darussalam yang dicintai daripada belenggu penjajahan dan menjaga kesejahteraan, kemakmuran negara Brunei Darussalam. 

 Mempertahankan, menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1997:1342), didefinisikan sebagai,
1.      Mengikhtiarkan supaya tidak berubah
2.      Mengusahakan supaya tetap (kekal)
3.      Tidak mahu melepaskan
4.      Memegang teguh
5.      Menjaga supaya tidak terancam (dikuasai orang dan lain-lain)
6.      Melindungi
7.      Membela

Berdasarkan konteks ayat “mempertahankan” ianya bermaksud menjaga, melindungi, membela tanah air negara Brunei Darussalam supaya tidak terancam dan dikuasai orang luar atau orang asing. Maka dengan itu, jelas menunjukkan bahawa perkataan ‘mempertahankan’ tadi  tidak berubah maknanya dari konteks ayat malah perkataan tersebut lebih menekankan kepada maksud kelima, keenam dan ketujuh di atas. Oleh itu, dibuktikan bahawa leksikal ‘mempertahankan’ mempunyai makna denotatif kerana makna denotatifnya secara tidak langsung dinyatakan secara terang-terangan (tersurat) di dalam konteks ayat tersebut. Maka, konteks ayat ini berkonotasi neutral

Kemudian, makna leksikal ‘kedaulatan’ menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1997:277) ialah kekuasaan yang tertinggi yakni raja atau sultan. Berdasarkan konteks ayat “Kemerdekaan dan kedaulatan”  bermaksud  melindungi, membela tanah air negara Brunei Darussalam supaya tidak terancam dari kuasa asing agar dapat mewujudkan kemerdekaan bagi negara sendiri di samping itu menjunjung, mengabdi, dan berkhidmat kepada raja atau Sultan Negara Brunei Darussalam yang mengamalkan kerajaan beraja. Ini menunjukkan bahawa perkataan ‘Kedaulatan’ tadi  berubah maknanya dari konteks ayat malah perkataan tersebut lebih menekankan kepada  maksud leksikal ‘mendaulat’. Oleh itu, dibuktikan bahawa leksikal ‘kedaulatan’ mempunyai makna konotatif kerana adanya makna tersirat disebalik perkataan kedaulatan. Malah, leksikal mendaulat digantikan dengan penggunaan leksikal kedaulatan. Maka, konteks ayat ini berkonotasi positif

 Analisis Keempat:
  Lagu: Pamor Bangsa

Makna denotasi dan konotasi dapat dilihat pada perkataan Pamor itu sendiri. Menurut Kamus Dewan (1996: 964), salah satu makna Pamor ialah keindahan, kemurnian, seni. Manakala jika dilihat pada aspek makna konotasinya (tersirat) bermaksud Keindahan atau keharmonian bangsa bagi negara Brunei Darussalam. Pada bahagian bait-bait lirik pula mengisahkan tentang bagaimana negara Brunei Darussalam itu dikatakan menjadi sebuah negara yang indah serta harmoni dengan beberapa cara yang dinyatakan iaitu mengangkat martabat bangsa, mencemerlangkan negara, hebatkan daya juang dan sebagainya. 

Pada baris pertama lagu Pamor Bangsa, perkataan mengangkat dari segi denotasinya menurut kamus dewan (1996: 44), bermaksud menggerakkan ke atas, menaikkan, meninggikan. Dari segi makna denotasi ini menerangkan bahawa sesuatu yang digerakkan mahupun dinaikkan atau ditinggikan seolah-olah merujuk kepada sesuatu benda. Namun jika dilihat maknanya dari segi konotasi pula perlulah merujuk kepada penggunaan ayatnya iaitu “mengangkat martabat bangsa”. Perkataan martabat di sini bukanlah merujuk kepada sesuatu benda tetapi sesuatu yang bersifat abstrak dan hanya dapat diperlaksanakan serta diusahakan. Oleh yang demikian, nilai konotasi bagi perkataan mengangkat ini adalah bernilai positif kerana perlakuan tersebut membawa kepada kebaikan.

Pada baris kedua pula, melihat perkataan mencemerlangkan memberikan makna denotasinya. Menurut Kamus Dewan (1996: 224) ialah menjadikan sesuatu cemerlang, menggemilangkan cita-citanya. Pada kebiasaan, perkataan cemerlang biasanya merujuk kepada pelajaran, pekerjaan dan sebagainya. Berlainan pula halnya dengan ayat di sini iaitu merujuk kepada mencemerlangkan negara. Dan sudah tentu nilai rasa bagi perkataan ini juga adalah positif kerana ianya sebagai salah satu usaha untuk mempertingkatkan negara Brunei Darussalam.

Kemudian pada baris keempat pula, perkataan nadi yang merujuk kepada makna denotasinya sebagai denyutan tetap pada arteri disebabkan oleh kontraksi jantung, biasanya boleh dirasa dipergelangan tangan. Namun, nadi yang dirujuk berdasarkan ayat “nadi jiwa bangsa sateria” mempunyai makna konotasi iaitu penggerak jiwa. Hal ini menumpukan kepada para belia negara Brunei Darussalam yang menjadi penggerak akan turun naiknya sistem pentadbiran negara.

Dan akhir sekali pada baris ketujuh iaitu bagi perkataan perarakkan memberi makna menurut Kamus Dewan (1996: 61) iaitu sama ada iring-iringan yang mengarak sesuatu, usungan untuk mengarak, kumpulan orang yang berarak. Dari itu, ini berbeza apabila dilihat pada aspek konotasi bagi ayat tersebut iaitu yang diarak ini adalah jati diri. Jati diri di sini bukanlah merujuk tepat kepada seseorang individu tetapi melibatkan kemampuan serta ketahanan diri seseorang sama ada dari segi fizikal mahupun mental.  

Analisis Kelima:
Lagu: Tekad Kemerdekaan.

Melalui perkataan Tekad yang bererti berkehendak dengan bersungguh-sungguh akan sesuatu, manakala apabila ditambah dengan perkataan kemerdekaan dapatlah difahami bahawa tajuk lagu tersebut menggambarkan perasaan setelah merdeka dan apa yang dihajati bagi individu tersebut (pada rangkap 2).

Di dalam lagu ini, berdasarkan bait-bait liriknya terdapat 4 perkataan yang mempunyai makna denotasinya serta konotasi, iaitu perkataan bertunas, membalut, menegak dan dijunjung. Perkataan bertunas dari segi denotasi ialah tumbuh tanamnya (pokok dll), mempunyai anak cucu, menurunkan zuriat, berketurunan, tumbuh atau timbul, hidup, muncul, terbit. Manakala dari segi makna konotasi berdasarkan konteks ayat pula bermaksud munculnya ilham.

Perkataan membalut menurut kamus dewan (1996: 98) ialah membarut, membebat, membungkus. Dari segi makna konotasinya pula agak berbeza dengan makna denotasinya. Jika difahami perkataan membalut bermaksud sesuatu itu dibungkus dengan benda yang lain dan lebih bersifat konkrit (nampak). Tetapi jika dilihat pada konteks ayat (cahaya islam membalut keimanan), mempunyai makna tersirat iaitu cahaya agama islam mendukung atau berperanan sebagai tunggak keimanan seseorang individu itu. Oleh yang demikian, agama Islam menjadi landas dalam menilai sesuatu yang baik atau buruk mengikut ajaran agama Islam.

Seterusnya pula perkataan menegak yang bermaksud lurus ke atas, tidak condong atau miring dari segi makna tersuratnya. Namun dari segi makna tersiratnya pula ialah mempertahankan sesuatu dan mengikut konteks pula bermaksud mempertahankan kesucian (agama Islam). Dan perkataan yang terakhir pula ialah dijunjung yang mempunyai makna denotasinya menurut Kamus Dewan (1996: 548) sebagai membawa sesuatu ke atas kepala, mematuhi (titah dll), menurut, amat menghormati, memuliakan, amat menghargai. Jika dilihat secara mendalam makna tersiratnya ialah menjunjung langit (suatu yang mustahil) namun penggunaan kata ini dianggap sebagai kiasan bagi sesuatu perbuatan yang begitu tinggi, besar nilainya.         
Dapatan Kajian

Daripada analisis data, didapati bahawa kata-kata leksikal yang terdapat dalam lagu patriotik khususnya lagu kebangsaan mempunyai makna denotatif iaitu makna tersurat. Ini mungkin kerana dengan penggunaan kata-kata seperti itu dapat menunjukkan dengan jelas semangat patriotik yang ada. Walaupun terdapat kata-kata yang mengandungi makna konotatif (makna tersirat), jika diteliti dengan mendalam, ternyata kata–kata yang memiliki makna denotatif dan makna konotatif tidak jauh berbeza. Masih terdapat ciri-ciri atau fitur-fitur yang sama antara kedua-duanya. Dan apa yang paling jelas sekali ialah, kata-kata dalam lagu patriotik ini mempunyai makna konotatif positif dan neutral. Ini menunjukkan bahawa kata-kata yang digunakan dalam lagu patriotik itu mempunyai nilai yang tinggi.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, secara ringkasnya, makna denotatif adalah makna tersurat, manakala makna konotatif pula adalah makna tersirat. Sememangnya semua kata leksikal memiliki makna denotatif sedangkan tidak semua kata leksikal itu mengandungi makna konotatif. Oleh yang demikian, setealah dianalisis data, didapati terdapat kata-kata leksikal yang mengandungi makna konotatif apabila dilihat maknanya berdasarkan konteks. Walau bagaimanapun, makna konotatif bagi sesuatu kata leksikal itu pula tidak mempunyai unsur-unsur negatif bahkan mempunyai nilai yang tinggi.



Rujukan:

      Jaludin Chuchu. (2010). Menyelusuri Makna. Brunei: Universiti Brunei Darussalam.
       Kamus Dewan. Edisi Ketiga (1997). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
      Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
•   Patriotisme Teras Keteguhan Bangsa. (2004). Brunei Darussalam: Jabatan Percetakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan