Pengenalan
Definisi Patriotik, Denotatif Dan Konotatif
Menurut Kamus Dewan (1996: 987), Patriotik bermaksud bersifat patriot (orang
yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan negaranya, pembela negara). Sering dikaitkan dengan kemerdekaan dan kebangsaan. Antara sifat
patriotik itu ialah memperjuangkan dan mempertahankan tanah air, membela ugama
dan nusa. Sikap patriotik rakyat terhadap negara jelas tergambar pada diri masyarakat Brunei, yang
hidup berlandaskan prinsip Melayu Islam Beraja dan taat kepada pemerintahan bersultan.
Walaupun Brunei telah lama mencapai
kemerdekaan, sikap patriotisme ini tidak pernah luntur atau pudar malah ditunjukkan
melalui penciptaan lagu-lagu patriotik oleh anak-anak tempatan bersempena hari
kebangsaan Brunei Darussalam. Lagu-lagu tersebut mengandungi meseg/moral yang
hendak disampaikan. Antaranya ialah unsur-unsur kecintaan terhadap tanah air,
mencintai agama, taat kepada raja dan sebagainya. Secara tidak langsung, penciptaan lagu-lagu tersebut dapat menaikkan semangat
patriotisme di kalangan masyarakat tempatan. Jadi, sempena memeriahkan lagi hari
kebangsaan ini, kajian iaitu melihat makna detonatif dan konotatif pada
lagu-lagu patriotik Brunei telah pun dijalankan.
Dr Jaludin
Chuchu (2010:56), menyatakan bahawa makna denotatif dan konotatif dapat
dibezakan dengan melihat nilai rasa yang ada dalam kalimat atau kata. Setiap
kata mempunyai makna denotatif tetapi tidak semua kata mempunyai makna
konotatif. Sebuah kata itu memiliki makna konotatif apabila kata tersebut
mempunyai nilai rasa sama ada positif atau negatif. Jika kata tersebut tidak memiliki
nilai rasa maka dapat dikatakan bahawa kata berkenaan tidak memiliki konotasi
tetapi disebut berkonotasi neutral. Dalam Kamus Dewan (1996: 292),
memberikan definisi bahawa makna denotasi ialah makna eksplisit sesuatu
perkataan, lawan konotasi dan hubungan semantik antara satuan bahasa dengan
benda (simbol dll). Manakala konotasi (1996: 701) pula ialah asosiasi atau idea
yang dimaksudkan oleh sesuatu perkataan atau ungkapan selain maknanya yang
tersurat. Jadi, secara ringkasnya, denotatif itu bermaksud makna yang tersurat
(seperti yang terdapat dalam kamus), manakala konotatif pula ialah kajian
mengenai makna yang tersirat (yang melihat makna dari sudut keseluruhan ayat
dan memberikan nilai rasa seperti positif, negatif mahupun neutral).
Permasalahan Kajian
Seperti yang
dinyatakan sebelum ini bahawa setiap kata mempunyai makna denotatif tetapi
tidak semua kata mempunyai makna konotatif. Oleh itu, permasalahan yang ingin
dikaji dalam kajian ini ialah ingin melihat sama ada kata-kata leksikal yang
terdapat dalam lagu-lagu patriotik Brunei Darussalam khususnya lagu-lagu
kebangsaan itu mengandungi makna denotatif sahaja atau mengandungi kedua-duanya
sekali iaitu makna denotatif dan juga makna konotatif.
Tujuan
Adapun tujuan
kajian ini adalah sebagai pemupukan semula semangat kebangsaan atau
nasionalisme iaitu dengan memberikan pendedahan kepada khalayak mengenai
makna atau maksud yang tersirat mahupun tersurat dalam bait-bait lagu patriotik
Brunei Darussalam. Memandangkan lagu patriotik ini hanya diperdengarkan pada
musim tertentu umpamanya ketika menyambut hari kebangsaan, maka pengkaji
mengambil kesempatan untuk mendedahkan lagu-lagu patriotik kepada khalayak yang
berkemungkinan khalayak juga tidak mengetahuinya.
Antara lagu-lagu patriotik yang dianalisis
ialah:
1. Bangsa Satria
2. Brunei Bumi Bertuah
3. Sumpah dan Janji
4. Pamor Bangsa
5. Tekad Kemerdekaan
Analisis Pertama:
Lagu: Bangsa Sateria
Berdasarkan lirik lagu Bangsa
Sateria ini, terdapat kata-kata leksikal yang mengandungi makna denotatif
dan makna konotatif.
Antaranya, kata leksikal “sateria”.
Dalam kamus dewan (2005:772), kata “sateria” merujuk kepada definisi
“kesateria” iaitu:
- Perajurit yang gagah berani
- Orang yang gagah berani.
Kata “sateria” dalam konteks ayat “lahirlah
tanah air bangsa sateria” bermaksud bahawa terdapatnya orang-orang yang
gagah berani khususnya tentera-tentera yang sanggup berjuang demi menjaga
keamanan dan kesejahteraan negara. Konteks ayat tersebut jelas menunjukkan
bahawa kata “sateria” hanya mempunyai makna denotatif sahaja dan tidak memiliki
makna konotatif. Ini adalah kerana makna denotatif (makna tersurat / makna
kamus / makna dasar) dengan makna “sateria” berdasarkan konteks ayat tersebut
adalah sama. Oleh itu, kata “sateria” adalah berkonotasi neutral.
Seterusnya, kata leksikal
“keringat”. Kata “keringat” dalam kamus dewan (2005:760) bermaksud peluh.
Berdasarkan konteks ayat “dibina dengan keringat semangat waja”,
kata “keringat” mempunyai makna konotatif iaitu usaha dan pengorbanan
tentera-tentera yang gagah berani di samping mempunyai semangat yang kuat dalam
mempertahankan negara tercinta. Dari itu, kata “keringat” memiliki nilai rasa
yang tinggi atau berkonotasi positif kerana penggunaan kata “keringat” dapat
melambangkan pengorbanan, perjuangan, usaha, dan sebagainya.
Bagi kata leksikal “warga” pula,
dalam kamus dewan (2005:1801) bermaksud ahli (suatu keluarga, syarikat dll).
Konteks ayat “antara warga raja saling kasih percaya” bermaksud
rakyat dan raja hendaklah saling percaya dan bekerjasama memartabatkan negara.
Oleh itu, kata “warga” berdasarkan konteks ayat di atas adalah merujuk kepada
rakyat. Kata “warga” ini tidak memiliki makna konotasi kerana jika dilihat
melalui makna denotatifnya (makna kamus), kata “warga” bermaksud ahli. Dari itu,
jika raja dianggap sebagai ketua negara, maka rakyat dianggap sebagai ahlinya.
Ini jelas menunjukkan bahawa tidak terdapat makna konotasi mahupun makna
tersirat bagi kata “warga” berdasarkan konteks ayat tersebut.
Dalam kamus dewan (2005:386), kata
leksikal “emas” bermaksud sejenis logam berwarna kuning yang mahal harganya
(selalunya dijadikan perhiasan seperti cincin, rantai, dll). Walau
bagaimanapun, kata “emas” mengikut konteks ayat “tetap berpijak di bumi
emas” memiliki makna konotasi iaitu tetap memperjuangkan dan
mempertahankan negara tercinta yang sangat berharga dan bermakna bagi sekalian
rakyat Brunei Darussalam. Dari itu, kata “emas” mempunyai nilai rasa yang
tinggi atau berkonotasi positif kerana kata “emas” dilambangkan sebagai sesuatu
yang sangat berharga.
Terakhir, kata leksikal “mutiara”.
Dalam kamus dewan (2005:1061), kata “mutiara” bermaksud sejenis permata yang
yang diperolehi dari sejenis tiram. Definisi ini dianggap sebagai makna
denotatif. Walau bagaimanapun, kata “mutiara” mengandungi makna konotasi
berdasarkan konteks ayat “tersimpul makna mutiara sempurna” yang
bermaksud bahawa mengamalkan kehidupan berasaskan falsafah Melayu Islam Beraja
adalah sesuatu yang sangat berharga. Dari itu, kata “mutiara” merujuk kepada
sesuatu yang berharga.
Analisis Kedua:
Lagu: Brunei Bumi Bertuah
Dalam kamus dewan (2005:1154), kata
leksikal “payung” bermaksud alat bertangkai yang biasanya dibuat daripada kain,
kertas, dsb yang dipasang pada kerangka boleh dilipat untuk melindungi
seseorang atau sesuatu daripada terkena hujan atau panas matahari dan juga
digunakan sebagai alat kebesaran raja dll. Walau bagaimanapun, kata “payung”
dalam konteks ayat “raja payung rakyat dan negara” mempunyai
makna konotasi iaitu seorang raja itu dianggap sebagai pelindung, tempat
berteduh, harapan bagi rakyat dan juga negara. Oleh itu, kata tersebut
mempunyai nilai rasa yang tinggi kerana dalam masyarakat Melayu sendiri, raja
diibaratkan sebagai payung bagi rakyat dan negara.
Seterusnya, kata leksikal “isi”
dalam kamus dewan (2005:588:589) bermaksud,
1. Sesuatu
yang termuat dalam sesuatu benda, kandungan;
2. Inti sari,
pati;
3. Bahagian
(pada buah dll) yang bukan biji (yang dikandung oleh kulit).
Definisi di atas merupakan makna
denotatif bagi kata leksikal “isi”. Dalam konteks ayat “tempat berlindung
isi negara”, kata “isi” memiliki makna konotatif iaitu merujuk kepada
rakyat jelata. Oleh itu, kata “isi” mempunyai nilai rasa yang tinggi atau
berkonotasi positif.
Bagi makna leksikal “persada” dalam
kamus dewan (2005:1193) pula ialah sejenis lantai yang tinggi bertingkat atau
bertangga tempat duduk raja (pembesar negeri dll). Berdasarkan konteks ayat “persada
kita jaga” yang bermaksud takhta kerajaan harus dipelihara
sebaik-baiknya supaya tidak diambil alih oleh penjajah atau orang yang
bertujuan untuk merosakkan negara. Dari itu, jelas menunjukkan bahawa kata
“persada” mempunyai makna konotatif iaitu takhta kerajaan.
Selanjutnya, “hancurkan lah petualang”. Kata “petualang” merujuk kepada orang yang tidak amanah dan melakukan sesuatu untuk kepentingannya sendiri. Berdasarkan konteks ayat ini, hendaklah dihapuskan orang yang merosak negara.
Untuk leksikal petualang ini, Kamus
Dewan (2005), memberikan definisi seperti berikut:
- Orang yang bertualang, orang gelandangan, pengembara;
- Orang melakukan sesuatu dengan nekad (curang dll) untuk kepentingannya sendiri;
- Orang yang suka melakukan perkara-perkara yang sukar atau berbahaya untuk pengalaman.
Oleh itu, kata “petualang”
berdasarkan konteks ayat di atas mempunyai makna denotatif dan tidak memiliki
makna konotatif (berkonotasi neutral).
Kata leksikal “ibunda” dalam Kamus
Dewan (2005:558) bermaksud bonda, ibu (lebih hormat). Walau bagaimanapun, dalam
konteks ayat “menyambut seruan ibunda”, kata “ibunda”
bukan merujuk kepada bonda atau ibu, sebaliknya merujuk kepada makna
tersiratnya (makna konotatif). Makna konotatif bagi kata leksikal “ibunda”
adalah negara. Oleh itu, kata “ibunda” dianggap mempunyai nilai rasa yang
tinggi atau berkonotasi positif.
Dan akhir sekali, kata leksikal
“megah” dalam kamus dewan (2005:1012) yang bermaksud,
1. Kelihatan
gagah (hebat), masyhur, mulia;
2. Bangga.
Jika dilihat dalam konteks ayat “bendera
negara berkibar megah”, jelas menunjukkan terdapatnya unsur
metafora iaitu kata “megah” biasanya merujuk kepada orang atau manusia,
sedangkan dalam konteks ayat di atas, kata “megah” merujuk kepada benda iaitu
bendera negara. Walau bagaimanapun, makna “megah” berdasarkan konteks ayat
tidak berubah dengan makna denotatifnya (berdasarkan definisi kamus dewan).
Konteks ayat tersebut bermaksud bahawa bendera negara berkibar dengan hebat.
Oleh itu, kata “megah” hanya memiliki makna denotatif, tetapi tidak memliki
makna konotatif.
Analisis Ketiga:
Lagu: Sumpah Dan Janji
Dalam lirik lagu “Sumpah dan janji”
ini terdapat lima leksikal yang berunsurkan patriotik ditemui. Contohnya,
leksikal ‘Berjuang’, ‘Membangun’, ‘Semangat’, ‘Mempertahankan’, dan
‘Kedaulatan’. Berdasarkan perkataan tersebut jelas menunjukkan bahawa makna
leksikal, konotasi dan denotasinya adalah berbeza berdasarkan konteks ayat.
Menurut kamus Dewan Edisi ketiga
(1997:544) perkataan ‘Berjuang’ adalah bermaksud,
1. Berlaga antara satu dengan lain (bukan bagi binatang yang
besar-besar)
2. Berlanggaran
3. Berlawanan
4. Hendak mencapai atau mengatasi sesuatu dengan jalan beradu tenaga
(kekuatan, kuasa dan sebagainya) dengan pihak atau unsur yang menentangnya atau
boleh memudaratkannya
Oleh itu, berdasarkan konteks ayat “Berjuang
membela ugama nusa”, perkataan “berjuang” ini bermaksud mempertahankan,
mengatasi, memelihara iaitu dengan menguatkan syiar agama Islam supaya
masyarakat Islam Brunei Darussalam tidak menerima unsur atau pengaruh yang tidak
baik dari pelbagai pihak. Perkataan ‘berjuang’ tadi tidak berubah maknanya dari
konteks ayat malah perkataan tersebut lebih menekankan kepada maksud yang
keempat bagi perkataan ‘berjuang’ yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Ketiga.
Maka dengan itu, jelas menunjukkan leksikal ‘berjuang’ mempunyai makna
denotatif kerana makna denotatifnya secara tidak langsung dinyatakan secara
terang-terangan (tersurat) di dalam konteks ayat tersebut. Dari itu,
konteks ayat ini sebenarnya berkonotasi neutral
Perkataan ‘membangun’, Menurut
Kamus Dewan, (1997:102) adalah bermaksud,
- Bangun berdiri
- Bangkit
- Naik (awan, dan lain-lain)
- Berkembang
- Meningkat maju
Tetapi berdasarkan konteks ayat “membangun
bangsa” , konteks ayat ini bermaksud menaik tarafkan hidup rakyat
di Negara Brunei Darussalam agar standing dengan taraf hidup di negara-negara
yang sudah membangun seperti di negara-negara Barat umumnya. Selain itu juga,
agar rakyat Negara Brunei Darussalam mampu berdiri dan memajukan diri sendiri
tanpa bergantung harap kepada kerajaan Brunei.
Dari itu, perkataan ‘membangun’
tadi juga tidak berubah maknanya dari konteks ayat malah perkataan tersebut
lebih menekankan kepada maksud pertama dan kelima yang diberikan
oleh Kamus Dewan. Maka dengan itu, jelas menunjukkan leksikal ‘membangun’
mempunyai makna denotatif kerana makna denotatifnya secara tidak langsung
dinyatakan secara terang-terangan (tersurat) di dalam konteks ayat tersebut.
Dengan itu, konteks ayat ini berkonotasi neutral
Dalam Kamus Dewan (1997:1227), menyatakan definisi ‘semangat’ sebagai,
1. Roh yang terdapat dalam segala makhluk (dipercayai mempunyai
kuasa-kuasa tertentu)
2. Perasaan hati, jiwa
3. Maksud atau tujuan yang terkandung dalam sesuatu perjanjian
(ucapan dan lain-lain)
4. Kemahuan untuk melakukan sesuatu, nafsu
Berdasarkan konteks ayat “Semangat
waja”, ianya bermaksud agar rakyat Negara Brunei Darussalam lebih
mempunyai kemahuan (cita-cita) yang kuat demi menjaga tanah tumpah darah negara
Brunei Darussalam yang dicintai daripada belenggu penjajahan dan menjaga
kesejahteraan, kemakmuran negara Brunei Darussalam.
Mempertahankan, menurut Kamus Dewan Edisi
Ketiga (1997:1342), didefinisikan sebagai,
1. Mengikhtiarkan supaya tidak berubah
2. Mengusahakan supaya tetap (kekal)
3. Tidak mahu melepaskan
4.
Memegang teguh
5. Menjaga supaya tidak terancam (dikuasai orang dan lain-lain)
6. Melindungi
7. Membela
Berdasarkan konteks ayat “mempertahankan”
ianya bermaksud menjaga, melindungi, membela tanah air negara Brunei Darussalam
supaya tidak terancam dan dikuasai orang luar atau orang asing. Maka dengan
itu, jelas menunjukkan bahawa perkataan ‘mempertahankan’ tadi tidak
berubah maknanya dari konteks ayat malah perkataan tersebut lebih menekankan
kepada maksud kelima, keenam dan ketujuh di atas. Oleh itu, dibuktikan bahawa
leksikal ‘mempertahankan’ mempunyai makna denotatif kerana makna denotatifnya
secara tidak langsung dinyatakan secara terang-terangan (tersurat) di dalam
konteks ayat tersebut. Maka, konteks ayat ini berkonotasi neutral
Kemudian, makna leksikal
‘kedaulatan’ menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1997:277) ialah kekuasaan yang
tertinggi yakni raja atau sultan. Berdasarkan konteks ayat “Kemerdekaan
dan kedaulatan” bermaksud melindungi, membela tanah air
negara Brunei Darussalam supaya tidak terancam dari kuasa asing agar dapat
mewujudkan kemerdekaan bagi negara sendiri di samping itu menjunjung, mengabdi,
dan berkhidmat kepada raja atau Sultan Negara Brunei Darussalam yang
mengamalkan kerajaan beraja. Ini menunjukkan bahawa perkataan ‘Kedaulatan’
tadi berubah maknanya dari konteks ayat malah perkataan tersebut lebih
menekankan kepada maksud leksikal ‘mendaulat’. Oleh itu, dibuktikan bahawa
leksikal ‘kedaulatan’ mempunyai makna konotatif kerana adanya makna tersirat
disebalik perkataan kedaulatan. Malah, leksikal mendaulat digantikan dengan
penggunaan leksikal kedaulatan. Maka, konteks ayat ini berkonotasi positif
Analisis Keempat:
Lagu: Pamor Bangsa
Makna denotasi dan konotasi dapat dilihat pada
perkataan Pamor itu sendiri. Menurut Kamus Dewan
(1996: 964), salah satu makna Pamor ialah keindahan, kemurnian, seni. Manakala
jika dilihat pada aspek makna konotasinya (tersirat) bermaksud Keindahan atau
keharmonian bangsa bagi negara Brunei Darussalam. Pada bahagian bait-bait lirik
pula mengisahkan tentang bagaimana negara Brunei Darussalam itu dikatakan
menjadi sebuah negara yang indah serta harmoni dengan beberapa cara yang
dinyatakan iaitu mengangkat martabat bangsa, mencemerlangkan negara, hebatkan
daya juang dan sebagainya.
Pada baris
pertama lagu Pamor Bangsa, perkataan mengangkat dari segi
denotasinya menurut kamus dewan (1996: 44), bermaksud menggerakkan ke atas,
menaikkan, meninggikan. Dari segi makna denotasi ini menerangkan bahawa sesuatu
yang digerakkan mahupun dinaikkan atau ditinggikan seolah-olah merujuk kepada
sesuatu benda. Namun jika dilihat maknanya dari segi konotasi pula perlulah
merujuk kepada penggunaan ayatnya iaitu “mengangkat martabat bangsa”.
Perkataan martabat di sini bukanlah merujuk kepada sesuatu benda tetapi
sesuatu yang bersifat abstrak dan hanya dapat diperlaksanakan serta diusahakan.
Oleh yang demikian, nilai konotasi bagi perkataan mengangkat ini adalah
bernilai positif kerana perlakuan tersebut membawa kepada kebaikan.
Pada baris
kedua pula, melihat perkataan mencemerlangkan memberikan makna
denotasinya. Menurut Kamus Dewan (1996: 224) ialah menjadikan sesuatu
cemerlang, menggemilangkan cita-citanya. Pada kebiasaan, perkataan cemerlang
biasanya merujuk kepada pelajaran, pekerjaan dan sebagainya. Berlainan pula
halnya dengan ayat di sini iaitu merujuk kepada mencemerlangkan negara. Dan
sudah tentu nilai rasa bagi perkataan ini juga adalah positif kerana ianya
sebagai salah satu usaha untuk mempertingkatkan negara Brunei Darussalam.
Kemudian pada
baris keempat pula, perkataan nadi yang merujuk kepada makna
denotasinya sebagai denyutan tetap pada arteri disebabkan oleh kontraksi
jantung, biasanya boleh dirasa dipergelangan tangan. Namun, nadi yang dirujuk
berdasarkan ayat “nadi jiwa bangsa sateria” mempunyai makna
konotasi iaitu penggerak jiwa. Hal ini menumpukan kepada para belia negara
Brunei Darussalam yang menjadi penggerak akan turun naiknya sistem pentadbiran
negara.
Dan akhir
sekali pada baris ketujuh iaitu bagi perkataan perarakkan memberi
makna menurut Kamus Dewan (1996: 61) iaitu sama ada iring-iringan yang mengarak
sesuatu, usungan untuk mengarak, kumpulan orang yang berarak. Dari itu, ini
berbeza apabila dilihat pada aspek konotasi bagi ayat tersebut iaitu yang
diarak ini adalah jati diri. Jati diri di sini bukanlah merujuk tepat kepada
seseorang individu tetapi melibatkan kemampuan serta ketahanan diri seseorang
sama ada dari segi fizikal mahupun mental.
Analisis Kelima:
Lagu: Tekad Kemerdekaan.
Melalui
perkataan Tekad yang bererti berkehendak dengan bersungguh-sungguh akan
sesuatu, manakala apabila ditambah dengan perkataan kemerdekaan dapatlah
difahami bahawa tajuk lagu tersebut menggambarkan perasaan setelah merdeka dan
apa yang dihajati bagi individu tersebut (pada rangkap 2).
Di dalam lagu
ini, berdasarkan bait-bait liriknya terdapat 4 perkataan yang mempunyai makna
denotasinya serta konotasi, iaitu perkataan bertunas, membalut, menegak dan
dijunjung. Perkataan bertunas dari segi denotasi ialah tumbuh
tanamnya (pokok dll), mempunyai anak cucu, menurunkan zuriat, berketurunan,
tumbuh atau timbul, hidup, muncul, terbit. Manakala dari segi makna konotasi
berdasarkan konteks ayat pula bermaksud munculnya ilham.
Perkataan membalut
menurut kamus dewan (1996: 98) ialah membarut, membebat, membungkus. Dari segi
makna konotasinya pula agak berbeza dengan makna denotasinya. Jika difahami
perkataan membalut bermaksud sesuatu itu dibungkus dengan benda yang lain dan
lebih bersifat konkrit (nampak). Tetapi jika dilihat pada konteks ayat (cahaya
islam membalut keimanan), mempunyai makna tersirat iaitu cahaya agama
islam mendukung atau berperanan sebagai tunggak keimanan seseorang individu
itu. Oleh yang demikian, agama Islam menjadi landas dalam menilai sesuatu yang
baik atau buruk mengikut ajaran agama Islam.
Seterusnya
pula perkataan menegak yang bermaksud lurus ke atas, tidak condong atau
miring dari segi makna tersuratnya. Namun dari segi makna tersiratnya pula
ialah mempertahankan sesuatu dan mengikut konteks pula bermaksud mempertahankan
kesucian (agama Islam). Dan perkataan yang terakhir pula ialah dijunjung yang
mempunyai makna denotasinya menurut Kamus Dewan (1996: 548) sebagai membawa
sesuatu ke atas kepala, mematuhi (titah dll), menurut, amat menghormati,
memuliakan, amat menghargai. Jika dilihat secara mendalam makna tersiratnya
ialah menjunjung langit (suatu yang mustahil) namun penggunaan kata ini
dianggap sebagai kiasan bagi sesuatu perbuatan yang begitu tinggi, besar
nilainya.
Dapatan Kajian
Daripada analisis data, didapati
bahawa kata-kata leksikal yang terdapat dalam lagu patriotik khususnya lagu
kebangsaan mempunyai makna denotatif iaitu makna tersurat. Ini mungkin kerana
dengan penggunaan kata-kata seperti itu dapat menunjukkan dengan jelas semangat
patriotik yang ada. Walaupun terdapat kata-kata yang mengandungi makna
konotatif (makna tersirat), jika diteliti dengan mendalam, ternyata kata–kata
yang memiliki makna denotatif dan makna konotatif tidak jauh berbeza. Masih
terdapat ciri-ciri atau fitur-fitur yang sama antara kedua-duanya. Dan apa yang
paling jelas sekali ialah, kata-kata dalam lagu patriotik ini mempunyai makna
konotatif positif dan neutral. Ini menunjukkan bahawa kata-kata yang digunakan
dalam lagu patriotik itu mempunyai nilai yang tinggi.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, secara
ringkasnya, makna denotatif adalah makna tersurat, manakala makna konotatif
pula adalah makna tersirat. Sememangnya semua kata leksikal memiliki makna
denotatif sedangkan tidak semua kata leksikal itu mengandungi makna konotatif.
Oleh yang demikian, setealah dianalisis data, didapati terdapat kata-kata
leksikal yang mengandungi makna konotatif apabila dilihat maknanya berdasarkan
konteks. Walau bagaimanapun, makna konotatif bagi sesuatu kata leksikal itu
pula tidak mempunyai unsur-unsur negatif bahkan mempunyai nilai yang tinggi.
Rujukan:
• Jaludin Chuchu. (2010). Menyelusuri Makna. Brunei: Universiti
Brunei Darussalam.
• Kamus Dewan. Edisi Ketiga (1997). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
• Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
• Patriotisme Teras Keteguhan Bangsa. (2004). Brunei Darussalam: Jabatan Percetakan.
• Patriotisme Teras Keteguhan Bangsa. (2004). Brunei Darussalam: Jabatan Percetakan.